21 April 2013

ERTI SEBUAH KEHIDUPAN BAGI AKU.

Aku pernah, dan tidak malu menceritakan kepada kawan aku, yang aku berasal

  dari keluarga yang miskin. Aku tidak pernah malu menceritakan kepada

 kawan aku, yang ayah ku terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya demi

 menyekolahkan kami adik beradik. Aku juga tidak pernah malu menceritakan

kepada kawan aku, yang aku ada 2 orang kakak, 2 orang abang dan seorang

 adik, dan kakak ku yang sulung tidak pernah bersekolah kerana kemiskinan

keluarga ku. Aku menceritakan, sejak usia ku tujuh tahun, aku bersama dua

 orang abang ku. Sebaik selesai solat Subuh, kami akan menjinjing dua bakul

 seorang di kiri dan kanan tangan. Sebuah bakul penuh berisi bungkusan nasi

 lemak. Sebuah bakul lagi berisi kuih-muih. Kami akan menjaja ke
 seluruh kampung. 

Setelah habis terjual, kami pulang ke rumah dan bersedia untuk ke

 sekolah di waktu petang. Di rumah ku, ada dua jenis beras. Satu

 beras patah/beras hancur yang murah harganya. Satu lagi beras
 biasa yang bermutu.

Beras patah/hancur adalah untuk makanan kami sekeluarga. Beras

 biasa adalah untuk dijadikan nasi lemak buat jualan ke seluruh 

kampung. Kadang-kala, bila teringin nak rasa kemanisan dan
 kelemakan beras biasa, kami adik beradik berpakat menyembunyikan

sebungkus nasi lemak. Sebungkus nasi lemak itulah kami makan

bertiga beradik. Begitulah hidup kami sewaktu kecil. Sewaktu

bersekolah, sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan tiga, aku

tak pernah beruniform lengkap ke sekolah. Sebab keluarga ku di

luar kemampuan untuk menyediakan uniform tersebut. Aku tak pernah

malu bercerita kepada kawan aku, aku berjalan kaki sejauh 3 batu

pergi, 3 batu balik semata-mata untuk menimba ilmu ke sekolah.

Kaki ku hanya berlapikkan selipar jepun. Kadang-kadang terpaksa

berkaki ayam kerana selipar yang ku pakai putus dipertengahan

jalan. Aku juga tidak pernah malu untuk menceritakan kepada kawan

aku, pernah sekali sewaktu berjalan kaki balik dari sekolah pada

tahun 2009, aku melalui tempat pembuangan sampah. Aku terjumpa

sepasang kasut yang dibuang. Kasut tersebut lalu ku kutip. Aku

dapati kasut tersebut koyak dibahagian depannya. Dengan rasa

gembira, kasut koyak tersebut ku bawa pulang ke rumah. Selesai

solat Maghrib, aku ke belakang rumah mencari saki-baki tali jala

milik ayah ku. Dengan tali jala itulah aku menjahit bahagian

depan kasut yang koyak. Keesokannya, aku ke sekolah memakai kasut

“baru”. Di sekolah dengan bangga, aku menayangkan kasut yang ku

kutip dari tempat pembuangan sampah kepada rakan-rakan sekolah

ku. Tiga atau empat hari sekali, jahitan tali jala tersebut

putus, dan aku akan menjahitnya semula. Sehinggalah aku menjumpai

sebatang raket badminton yang patah di tempat pembuangan yang

sama. Tali raket badminton itulah yang aku gunakan untuk menjahit

kasut tersebut menggantikan tali jala. Dan hasilnya, jahitan

kasut tersebut bertahan lebih lama. Selepas peperiksaan PMR, aku

mendapat tawaran masuk ke tingkatan empat di sebuah sekolah

berasrama penuh. Barulah aku mempunyai uniform sekolah yang

lengkap. Itu pun ayah ku terpaksa berhutang dengan orang untuk

menyediakan kelengkapan sekolah ku. Selepas SPM, aku menjalani

kursus Matrikulasi di sebuah IPTA di utara semenanjung. Tempat

yang paling jauh dari rumah yang aku pernah pergi. Kursus

matrikulasi berjalan selama dua tahun. Aku masih ingat. Ibu dan

bapa ku, menghantar aku ke MRSM Kulim menaiki bas Transnasional.

Bertolak jam 8.00pm dan sampai ke Butterworth di waktu subuh

keesokan harinya. Dari stesen bas Butterworth, kami menaiki bas

henti-henti ke Kulim. Sepanjang proses pendaftaran, ayah dan mak

aku tak henti-henti berpesan : “Jaga diri baik-baik kat tempat

orang.” “Jangan gaduh-gaduh bertumbuk.” “Belajar rajin-rajin,

jangan ponteng kelas.” Dan pesanan yang paling menyentuh hati

………. “Kita orang miskin. Abah tak pasti boleh hantar duit untuk

engkau kalau nak balik waktu cuti. Kalau abah tak dapat hantar

duit, kau duduk saja asrama ya. Ulangkaji pelajaran.” Tak dapat

aku bayangkan, tatkala aku menghantar ibu dan ayah ku keluar dari

pintu pagar MRSM Kulim selepas pendaftaran ku sempurna. Mereka

berjalan kaki dari pintu pagar MRSM Kulim ke stesen bas yang

jaraknya lebh kurang sebatu. Sayu sangat. Aku masih ingat

kata-kata ayah ku sebelum dia meninggalkan aku di MRSM Kulim :

“Abah nak engkau belajar bersungguh-sungguh. Carilah ilmu banyak-

banyak. Walau kita miskin harta, tapi jangan sampai kita miskin

ilmu. Orang yang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada

masyarakat.“ Sebaik tamat kursus matrikulasi selama dua tahun,

aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di bidang

perubatan di Royal College of Surgeon, Dublin. Tawaran tersebut

aku terima dengan hati yang amat gembira. Di kotak fikiran ku,

sudah terbayang-bayang aku merawat orang sakit di hospital. Tak

sabar untuk aku maklumkan kepada kedua orang tua ku. Segala usaha

ku lakukan untuk meminjam duit dari kawan-kawan. Alhamdulillah,

berkat membuat muka welfare kepada sahabat-sahabat ku, aku dapat

meminjam RM 80.00. Destinasi pertama ku, stesen bas Butterworth.

RM 20++ aku gunakan untuk beli tiket balik ke kampong. RM 20++

aku belikan buah tangan untuk ibu dan ayah ku. RM 20++ untuk aku

beli tiket untuk balik ke Butterworth. Baki duit yang ada, akan

aku belikan lauk-pauk basah untuk aku menjamu ibu dan ayah ku

sempena kejayaan ku mendapat tawaran dari university yang

tersohor dalam bidang perubatan. Malam itu, aku menaiki bas dari

Butterworth, untuk balik menemui ibu dan ayah ku. Sepanjang

perjalanan, aku membayangkan kegembiraan yang bakal terukir di

wajah ibu dan ayah tercinta. Tidak lupa juga aku berangan-angan

memegang stethoscope, memeriksa pesakit, menulis laporan

perubatan dan lain-lain lagi sehingga aku terlena, tenggelam oleh

angan-angan ku. Subuh …. Aku sudah pun selesai solat subuh,

sebaik sampai dari Butterworth. Dari stesen bas, aku berjalan ke

pasar basah yang berhampiran. Ikan cencaru, sayur bayam dan fish

ball. Itulah yang ku belikan buat menjamu ibu dan ayah ku. Bagi

keluarga ku, lauk sebegini memang amat “mewah”. Lantaran

kemiskinan, pucuk paku, kangkung, ikan kering, telur ayam atau

“ikan-ikan reject” yang menjadi hidangan asasi kami sekeluarga.

Itu pun ayah ku sering mengingatkan kepada kami, seandainya kita

bersyukur dengan rezeki yang ada, ALLAH akan tambahkan kita

dengan rezeki yang lain. Habis berbelanja … ku dapati duit yang

berbaki hanyalah 20 sen. Maka terpaksalah aku menapak, berjalan

kaki dari pekan kecil tersebut untuk balik ke rumah yang jauhnya

lapan batu. Sedang aku berjalan bersendirian sambil menyambung

angan-angan ku, sebuah lori kecil membawa tong ikan kosong

berhenti di sebelah ku. Kamal yang mengambil upah menghantar tong

ikan dari jeti ke pasar, bersama adiknya Jijoi. Kamal mempelawa

aku naik lorinya untuk menghantar aku balik ke rumah. Kepulangan

ku, mengundang kejutan bercampur gembira. Mana tidaknya, sudah

hampir dua tahun aku tidak balik ke kampong. Hanya sekeping

warkah yang aku kirim buat penyambung kasih sayang seorang anak

kepada ibu bapanya setiap bulan. Aku dipeluk dan dicium oleh ibu

ku yang mulia. Juga tidak lupa di dakap oleh ayah ku yang

dirahmati. Mereka gembira, excited, teruja dan entah apa-apa lagi

terminology yang aku sendiri tidak tahu nak sebut di sini. Lauk

basah yang ku beli kuhulurkan kepada kakak sulung ku. “Mie

belanja makan tengahari ini” … ujar ku … semakin manis senyuman

ibu ku yang penyayang. Aku sudah terbayang, wajah ibu dan ayah ku

akan semakin ceria dan manis tatkala aku menunjukka surat tawaran

belajar ku nanti. Selepas sarapan, perlahan ku unjukkan surat

tawaran kepada ayah ku tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hanya

sekuntum senyuman. Ayah ku membuka surat tersebut. Ibu ku

mendekati ayah ku, ingin turut sama mengetahui isi kandungan

surat yang ku hulurkan. ALHAMDULILLAH. SYUKUR PADA MU YA ALLAH

Itulah yang terpancar dari mulut ibu ku. Senyumannnya


 semakin manis. Ku lihat air mata gembira menitis dari mata ibu ku yang ku

 kasihi. Ayah ku, tersenyum dan menangis……. Speechless….. Kegembiraan

 tergambar di wajahnya. Perlahan dia menghampiri ku. Tubuh ku dipeluk erat.

 “Doa ayah telah Allah makbulkan” … bisik ayah ku sambil dakapannya semakin

 erat. “Ayah hendak engkau jadi orang berguna.” “Biarlah kita miskin harta,

 jangan kita miskin ilmu.” “Ingat pesan ayah…. Orang berilmu tak akan jadi

 anak tiri kepada masyarakat.” … bisiknya dengan suara yang semakin sebak

 dan sayu. Aku turut menangis ……… Selepas mandi pagi di telaga ……. Ibu ku

 sedang sibuk menyiang ikan cencaru yang ku beli, sambil dibantu kakak 

sulung ku. Dari tingkap rumah usang ayah ku, ku lihat … ayah ku sedang

 duduk termenung sendirian di dalam perahunya. “Kenapa ayah tu mak ? Dia

 tak ke kilang sawmill ke ? Muka nampak sedih je. Dia tak suka ke Mie dapat

 tawaran belajar ke luar Negara ?” Sambil tersenyum, ibu ku mencuci

 tangannya. Lengan baju yang disingsing paras siku dibetulkan. Dia berjalan

 kea rah ku yang sedang duduk di tingkap rumah. “Bukan dia tak suka.” Ujar

 ibu ku sambil tersenyum, sambil duduk bersimpuh di sebelah ku memerhatikan

 suaminya tercinta. “Ayah tengah fikir, kat mana nak cari duit untuk hantar

 kamu belajar.” Tersentak hati ku. Perasaan ku berubah sekelip mata. Baru

 sebentar tadi, aku amat gembira dengan tawaran yang aku terima. Kini

 perasaan ku bercampur-baur. Kesedihan, kemarahan, kekecewaan …. Dan yang

 paling ketara …. Rasa bersalah kepada ayah dan ibu ku ……… Dari jauh ku

 renung kakak sulung ku yang tak pernah bersekolah. Andainya di tulis huruf

 “A” sebesar pokok kelapa, kakak ku itu tak kenal yang itu adalah huruf “A”

 kerana waku itu keluarga ku tidak mampu untuk menghantarnya ke sekolah

 untuk belajar. Kertas berwarna biru adalah duit seringgit. Kertas warna hijau

 adalah duit lima ringgit. Kertas warna merah adalah duit sepuluh ringgit.

 Begitulah cara kakak sulung ku mengenal nilai matawang Malaysia. Dia

 korbankan masa depannya untuk tidak bersekolah demi memberi peluang

 kepada adik-adiknya untuk memperolehi pelajaran yang lebih baik darinya.

 Kakak ku yang kedua, sedang melanjutkan pelajaran di bidang kejuruteraan di

 Melbourne, Australia. Disusuli oleh abang ku di bidang arkitek di Newcastle,

 Australia. Abang ku seorang lagi belajar dibidang pendidikan disebuah IPTA.

 Ayah ku terpaksa berhutang dengan “boss”nya. Malah untuk menghantar aku

 mendaftar untuk kursus matrikulasi dulu pun, ayah ku berhutang RM 500.00.

 Aku termenung …. “Sungguh besar pengorbanan ibu dan ayah ... dan aku menyusahkan orang tua ku” …. Bentak hati ku … rasa bersalah menyelubungi

 diri. Sedikit demi sedikit rasa sedih datang bertandang. Aku terdiam seketika.

 Aku terasa tangan ibu memicit-micit sebelah bahu ku. Ku renung wajah ibu.

 “Mak bangga dengan anak-anak mak” … kata ibu sambil tersenyum. Ku lihat

 setitis air mata mengalir di sudut matanya. Senyum ibu ku balas. Perlahan

 tangannya ku alihkan dari bahu ku, lalu ku kucup. “Mak, doakan mie ya. Mie

 tak mahu jadi anak derhaka. Mie nak mak dan ayah gembira selalu” Lantas

 aku bangun dari tempat duduk ku, meninggalkan ibu ku berseorangan. “Mak,

 Mie nak ke masjid buat solat dhuha” Di masjid, selesai solat dhuha …. Aku

 menangis …. menangis ….menangis …. dan menangis. Apakah aku ini

 menyusahkan ibu bapa ku? Dan aku beriktiqaf di masjid dari pagi hinggalah

 zohor. Selepas solat maghrib, aku kucup tangan ibu dan ayah ku sebelum

 keluar rumah untuk menaiki bas balik ke Butterworth. Pesan ayah …. “Ayah

 nak engkau jadi orang berilmu. Ayah nak engkau berjaya di dunia dan akhirat.

 Ingat pesan ayah. Orang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada masyarakat.”

 Kamal dan Jijoi sudah menanti di dalam lori ikannya. Mereka akan menghantar

 aku ke stesen bas di pekan. Malam itu, sepanjang perjalanan air mata ku

 mengalir. Monday blues … Aku tak ada mood untuk ke kelas hari ini. Bukan

 sebab keletihan dek perjalanan yang jauh. Tetapi disebabkan keputusan yang

 telah ku buat. Di bilik hostel , aku menulis sepucuk surat. Ku tujukan kepada

 Pengarah Matrikulasi. Tajuk surat rasmi tersebut ….. MENOLAK TAWARAN

 UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN KE LUAR NEGARA. Tengahari itu, aku sendiri

 ke Pusat Matrikulasi dan menghantar sendiri surat berkenaan. Malam itu aku

 seperti biasa, memanjat bumbung Desa Gemilang dan melihat suasana malam

 sendirian sambil bertemankan air mata …………. Selepas solat malam …. Di kala

 room mate ku sedang nyenyak tidur, aku menulis sepucuk surat kepada ibu

 dan bapa ku. Dan aku menulis bersama linangan air mata. Surat yang

 memaklumkan kepada mereka, bahawa aku telah pun menolak tawaran untuk

 melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeon. Alasan yang ku berikan

 ialah ….. DI LUAR NEGARA TIDAK ADA NASI KERABU …. Satu alasan bodoh,

 yang sengaja ku reka untuk menyokong keputusan ku demi mengurangkan

 bebanan yang di tanggung oleh ayah ku. Tak tergamak ku lihat ayah ku

 bersusah-payah menambah hutang demi melihat aku belajar. Wahai student

 ku, Aku yakin, tidak ada seorang pun dari kamu yang pernah melalui saat getir

 dan kepayahan yang pernah aku lalui. Di sini, ku lihat diri mu semua enak

 diulit kemewahan yang disiram oleh ibu bapa mu. Engkau datang kuliah

 bersama kereta yang dipandu oleh diri mu. Kancil, Iswara, City, Vios malah

 BMW. Tidak seperti ku yang hanya berjalan kaki dibawah terik sinar mentari.

 Di kaki mu tersarung kasut berjenama. Tidak seperti ku, kasut yang pernah

 tersarung di kaki ku, aku kutip dari tempat pembuangan sampah. Itu pun aku

 terpaksa jahit menggunakan tali jala dan tali dari raket badminton yang juga

 ku kutip dari tempat pembuangan sampah. Bila malam menjelang, engkau

 semua bepeleseran di bandar. KFC, Mc Donald, Pizza Hut malah tak lupa juga

 premis karaoke bersama syisha yang menjadi santapan diri mu. Jika

 dibandingkan diri ku sekeluarga yang menjadikan kangkung, pucuk paku

, pegaga, ikan kering sebagai lauk asasi. Malah makanan ku juga bercatu

 sewaktu melanjutkan pengajian program Degree. Untuk meneruskan hidup di

 negeri orang sambil belajar, aku terpaksa membuat kerja luar. Mendaki

 anak-anak tangga flat dan apartment menjual akhbar. Menebas hutan belukar

 dan menambun tanah di lubuk, paya dan tasik untuk membuka kampong.

 Semata-mata untuk mendapat sekelumit upah bagi meneruskan hidup dan

 belajar. Dan dalam kepayahan dan keperitan ku dulu, kini aku berdiri di depan

 mu. Dengan suara lantang aku memberi kuliah kepada mu. Aku menjadi guru

 kepada mu. Andainya dalam keadaan serba daif dan kekurangan, aku mampu

 berjaya berdiri di depan mu sebagai guru mu. Hanya satu soalan dari ku untuk

 mu …. MENGAPAKAH KAMU YANG DILILLIT DENGAN SEGALA KEMUDAHAN DAN

 KEMEWAHAN MASIH TIDAK MAMPU BERJAYA DI DALAM PELAJARAN MU ?

26 August 2011

Wasiat Rasulullah


RASULULLAH bersabda, bermaksud: "Hai umatku, aku berwasiat kepada kamu sekalian dengan lima perkara:


“Pertama, perbanyakkan olehmu dengan menyebut Allah daripada menyebut manusia.

“Kedua, perbanyakkan olehmu dengan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

“Ketiga, perbanyakkan olehmu dengan menyebut kejahatan dirimu daripada kebaikannya.

“Keempat, perbanyakkan olehmu dengan menyebut mati daripada menyebut hidup dan kelima, perbanyakkan olehmu kecelaan dirimu daripada menyebut kecelaan manusia.”


Sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Akan datang di atas umatku suatu masa, kasih mereka itu pada lima perkara dan lupa mereka itu juga lima perkara:

“Pertama, kasih mereka itu akan hidup dan lupa mereka itu akan mati.

“Kedua, kasih mereka itu akan harta dan lupa mereka itu akan hisab.

“Ketiga, kasih mereka itu akan mahligai dan lupa mereka itu akan kubur.

“Keempat, kasih mereka itu akan dunia dan lupa mereka itu akan akhirat.

“Dan kelima, kasih mereka itu akan makhluk dan lupa mereka akan Tuhan.”

Seterusnya, sabda Rasulullah bermaksud: “Adalah syurga itu Tuhan sediakan untuk orang yang berbuat taat walaupun dia hamba Habsyi sekalipun.

“Dan neraka itu Tuhan sediakan untuk orang yang berbuat maksiat kepada-Nya, walaupun dia ketua atau keturunan yang mulia.”

06 June 2011

Hidup lebih fokus apabila berdamping kitab suci

Menghayati al-Quran bersama tafsirannya buatkan jiwa individu sentiasa disemai dengan ketakwaan

TERINGAT lagi ketika kecil, setiap kali selepas solat Maghrib, ibu akan mengajar saya membaca al-Quran. Ibu adalah ‘guru mengaji’ yang setia mengajarkan kami kalimah Allah bagi memastikan kami adik beradik celik al-Quran.

Walaupun ilmu membaca al-Quran memang sudah disemai di dada sejak kecil tetapi tidak dinafikan dari segi amalan memang ada cacat celanya. Apabila kembali mendekatkan diri dengan al-Quran, saya terasa perbezaannya.
Oleh itu, boleh saya katakan, perubahan yang saya lalui kini ada kaitannya dengan mukjizat al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. Kesetiaan berdampingan dengan kitab Allah menjadikan saya kini lebih fokus dengan apa yang ingin dilakukan serta dicapai dalam hidup.
Selain menjadikan hati yang resah kembali tenang, wahyu Allah memiliki seribu satu kelebihan dan hanya mereka yang pernah merasai dapat menceritakan kemanisan pengalaman itu. Ini kerana semua mempunyai cerita masing-masing.

Kehidupan saya rasakan lebih mudah selepas berjinak-jinak kembali membaca al-Quran secara istiqamah, sekurang-kurangnya satu halaman sehari. Perancangan harian juga menjadi lebih teratur kerana fikiran lebih fokus.

Justeru, apabila melihat anak muda sekarang seakan menjauhkan diri daripada al-Quran, timbul rasa sedih. Seseorang itu tidak semestinya perlu berubah menjadi alim untuk membaca al-Quran kerana membaca al-Quran sepatutnya sebahagian daripada amalan harian.

Kita kata hendak semua tetapi bagaimana mungkin kita akan mendapat semuanya jika diri serta fikiran tidak fokus. Tetapi cuba dekatkan diri dengan al-Quran, Insya Allah ia akan membuka jalan untuk kita melangkah ke depan. Cubalah.
Saya sendiri tidak pandai membaca al-Quran secara berlagu seperti qari dan qariah hebat yang kita tonton di televisyen dan ilmu tajwid pun masih perlu diasah lagi supaya lebih mantap. Tetapi, kesan daripada amalan itu memang menakjubkan.

Malah, ganjaran yang dijanjikan juga begitu besar. Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)

Pengalaman saya sendiri, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengakui hatinya lebih tenang selepas mengamalkan membaca surah yang diberi sebagai penawar untuk penyakit dihadapinya.

Ada juga mengakui, sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran atau tergagap-gagap mengalunkan kalimah Allah tetapi kini sudah boleh membaca dengan lancar. Alangkah indahnya pengalaman serta nikmat diterima mereka.

Bagi saya, jika tidak tahu membaca al-Quran, ia adalah satu kerugian. Tidak mengapa jika baca merangkak-rangkak kerana sekurang-kurangnya kita berusaha. Berkat kesungguhan itu, lama-kelamaan lidah akan lancar. Percayalah.

Tidak dinafikan ramai ibu bapa hari ini menyedari pentingnya anak mereka didedahkan dengan ilmu membaca al-Quran. Malah, mana-mana sekolah tahfiz akan dipenuhi kanak-kanak dan golongan remaja. Ini bukti tahap kesedaran ibu bapa supaya anak mendapat didikan agama semakin tinggi.

Mengenang zaman kanak-kanak, saya juga didedahkan kepada ilmu yang tidak kurang hebatnya. Dari kecil saya dilatih menjadi tukang azan di surau berdekatan rumah. Terima kasih kepada tok bilal dan tok siak yang sentiasa memberi peluang saya mengalunkan azan.

Ketika sekolah rendah pun saya beserban ke sekolah dan terbabit dengan kumpulan nasyid. Ingat lagi ketika itu bercelak hitam di bawah mata. Saya juga terpilih mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita kisah nabi malah pernah mendapat tempat kedua.

Semua itu saya lihat sebagai asas yang mendedahkan saya kepada pelbagai cabang ilmu yang asalnya terkandung dalam kitab al-Quran. Betapa pentingnya al-Quran kepada seorang Muslim, sewajarnya ia menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan harian kita.

Namun, masih ada remaja serta golongan muda yang terus leka serta menjauhkan diri dari kitab Allah mungkin disebabkan tidak didedahkan atau tidak dijadikan sebagai amalan. Yang pasti, tidak ada kalimah ‘terlambat’ untuk kita mendekatkan diri dengan al-Quran dan isinya.

Lagipun, sekarang ini pelbagai cara untuk mempelajari al-Quran. Di pasaran terdapat al-Quran elektronik yang boleh membantu kita belajar membaca al-Quran. Bagaimanapun, setiap proses pembelajaran, adalah lebih baik kita berguru.

Sekurang-kurangnya berlaku komunikasi dua hala, mana yang tidak faham dapat ditanya dan mendapat jawapannya sementara yang kurang jelas dapat diperjelaskan.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.” Fikir-fikirkanlah.